Sekolah anda akan
menganjurkan Minggu Membaca peringkat sekolah. Pada hari perasmian, anda
diminta untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Langkah-langkah untuk
Menanamkan Minat Membaca dalam Kalangan Murid”.
Sediakan teks ceramah
itu selengkapnya.
Assalamualaikum saya ucapkan kepada
Tuan Pengerusi Majlis, guru-guru dan seterusnya murid tingkatan tiga sekalian.
Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan ceramah tentang isu yang
hebat diperkatakan dewasa ini, iaitu “Langkah-langkah untuk Menanamkan Minat Membaca
dalam Kalangan Murid”.
Dewasa ini, aktiviti membaca dalam
kalangan murid semakin berkurangan. Kebanyakan murid pada era ini lebih gemar
melakukan aktiviti-aktiviti seperti melayari internet, bersukan, dan sebagainya
bagi mengisi masa lapang daripada membaca buku.
Hadirin
sekalian,
Membaca itu jambatan ilmu. Tanpa
membaca bagaimana sesuatu kejayaan itu dapat dicapai? Hal ini demikian
kerana kebanyakan perkara tidak dapat
kita ketahui hanya melalui pengalaman tetapi melalui pembacaan. Semakin banyak
kita membaca bahan bacaan yang berfaedah, semakin banyak pengetahuan yang bakal
kita peroleh.
Di Malaysia , purata rakyat kita yang
gemar membaca hanya sebilangan kecil. Langkah-langkah perlu diambil untuk meningkatkan dan menanamkan semangat membaca
dalam diri setiap orang. Langkah pertama yang dapat dilakukan adalah dengan
mengadakan kempen membaca. Melalui kempen ini, setiap murid akan diberikan satu
bahan bacaaan yang disediakan oleh pihak sekolah seperti majalah, surat khabar, dan
sebagainya. Kemudian, murid haruslah menulis tentang bahan bacaan tersebut
secara ringkas di dalam “Buku Nilam”. Pada akhir tahun, bilangan buku yang
dibaca akan dikira dan sesiapa yang mencatatkan bilangan buku terbanyak akan
diberikan anugerah dan sijil penghargaan. Dengan ini, sudah pasti minat membaca
dapat diterapkan dalam diri setiap murid.
Langkah lain yang dapat diambil adalah
dengan bantuan ibu bapa. Dalam hal ini ibu bapa haruslah memainkan peranan
penting dalam mendidik anak-anak membaca sejak kecil. Ibarat kata pepatah
“melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Jika minat membaca sudah dapat
dipupuk sejak kecil, sudah pasti apabila dewasa nanti aktiviti itu akan menjadi
aktiviti harian. Ibu bapa boleh membelikan anak-anak mereka buku cerita
sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Secara tidak langsung, murid-murid akan
menjadikan buku atau bahan bacaan yang lain sebagai teman hidup mereka.
Selain itu, mewujudkan perpustakaan
di setiap sekolah merupakan langkah kerajaan menanamkan sikap suka membaca.
Melalui kaedah ini, murid-murid akan menjadikan perpustakaan sebagai “rumah
kedua” mereka. Murid-murid dibenarkan meminjam buku dari perpustakaan. Ada juga yang menjadikan
perpustakaan sebagai tempat rujukan selain dapat menanamkan rasa cinta kepada
buku. Hal ini dapat menjimatkan wang ibu bapa untuk membelikan sesuatu bahan
bacaan yang mahal harganya. Sekaligus dapat membantu terutamanya bagi golongan
yang kurang berkemampuan.
Warga
dewan sekalian,
Membaca itu amat penting dalam kehidupan
harian kita. Sebagai murid, membaca itu merupakan suatu amalan dan kewajipan.
Hal ini demikian kerana tanpa membaca, bagaimana seseorang itu dapat mencapai
impian mereka untuk berjaya?
Kesimpulannya, membaca ibarat emas
dan melalui langkah-langkah itu tadi, saya berharap agar jumlah peratusan murid
yang gemar membaca buku akan meningkat. Sebelum saya mengundurkan diri, izinkan
saya melafazkan serangkap pantun:
Naik beca ke pasar tamu,
Membeli ikan dan juga laksa;
Membaca itu jambatan ilmu,
Jadikan amalan setiap masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan