Budaya lepak dalam kalangan remaja
semakin berleluasa. Beri pendapat anda tentang langkah-langkah yang boleh
dijalankan bagi mengurangkan gejala tersebut.
Budaya
lepak merupakan gejala biasa yang dapat dilihat di pusat membeli-belah.
Fenomena ini amat membimbangkan semua pihak kerana generasi muda yang bakal
menerajui kepemimpinan negara tidak menjalankan langkah positif bagi membina
masa depan yang cerah,sebaliknya mendedahkan diri kepada anasir-anasir yang
boleh merosakkan masa depan mereka.
Oleh itu, beberapa langkah tegas perlu dijalankan.
‘Off-bound school’ merupakan satu langkah bijak yang dapat mengurangkan budaya
negatif ini. Di sekolah, kursus motivasi dan kursus kepemimpinan perlu
dijalankan selaras dengan usaha kerajaan bagi menghasilkan remaja yang
berkualiti.Dalam kursus tersebut, aktiviti berbentuk fizikal juga tidak harus
dilupakan bagi remaja yang bersemangat waja. Aktiviti sedemikian dapat
membentuk daya ketahanan dalam diri remaja dan tidak mudah putus asa.
Di samping itu, pusat-pusat rekreasi dan sukan juga harus
diperbanyak. Setakat ini, pusat-pusat sukan dan rekreasi lebih ditujukan kepada
golongan berada. Kurangnya tempat-tempat sedemikian menyebabkan remaja lebih
beralih arah kepada hiburan yang terdapat di kompleks membeli-belah yang tidak
mengenakan sebarang bayaran kepada mereka.
Satu lagi langkah yang boleh
dijalankan oleh sektor awam dan sektor swasta ialah pelaksanaan sistem waktu
kerja yang fleksibel bagi kaum ibu. Perkara ini memandangkan semakin banyak ibu
yang bekerja. Oleh itu, mereka tidak dapat menumpukan perhatian antara kerjaya
dan keluarga. Jikalau kaum ibu diberi peluang bekerja dengan masa yang
fleksibel, tentulah kaum ibu dapat meluangkan lebih banyak masa bermesra dan
ambil berat tentang anak-anak mereka. Langkah ini sudah tentu dapat
mengurangkan budaya lepak di kalangan remaja.
Sebagai intihanya , diharapkan
langkah-langkah yang dicadangkan itu dapat membendung gejala tidak sihat kerana
pembentukan remaja berkualiti amat penting bagi merealisasikan Wawasan 2020.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan