Jumaat, 26 Julai 2013

Contoh Karangan Peribahasa, Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya



Anak-anak perlu dididik sejak kecil seperti kata peribahasa melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
Tulis sebuah cerita berdasarkan peribahasa tersebut.
           
            “Melentur buluh biarlah daripada rebungnya” bermaksud mendidik anak- anak hendaklah dari kecil lagi. Peribahasa ini bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk membentuk sebuah masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai kekeluargaan. Peribahasa ini merupakan satu nasihat yang amat baik untuk mendidik anak-anak agar cemerlang dan berguna kepada negara apabila dewasa kelak. Anak-anak menjadi lebih mendengar nasihat jika diasuh sedari kecil kerana belum terpengaruh dengan unsur negatif.

            Aku masih ingat lagi, jiranku Mak cik Mona seorang ibu tunggal yang mempunyai seorang anak sahaja. Kematian suaminya akibat penyakit jantung menyebabkan dia kehilangan tempat bergantung. Kehidupan mereka yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang tidak menghalang Mak cik Mona memberi pendidikan yang sempurna kepada anaknya, Iqbal. Mak cik Mona berharap agar suatu hari nanti Iqbal akan dapat memenuhi impian arwah ayahnya untuk menjejakkan kaki ke menara gading.

            Setiap pagi, Mak cik Mona terpaksa bangun seawal jam empat pagi untuk menyiapkan nasi lemak dan kuih-muih. Semasa Iqbal pergi ke sekolah, dia akan membawa kuih-muih dan nasi lemak yang disiapkan oleh ibunya untuk dihantar ke warung Pak Mail. Sekembalinya dari sekolah, Iqbal akan mengambil duit hasil jualannya tadi dan membeli barang-barang keperluan yang dipesan oleh ibunya. Walaupun pendapatan mereka tidak seberapa, namun wang tersebut mampu menyara kehidupan mereka berdua.

            Sejak dari kecil, Iqbal telah dididik dengan ilmu agama.Setiap petang dia belajar mengaji Al-Quran dengan Haji Ibrahim di masjid. Haji Ibrahim juga turut mengajar fardu ain kepada anak-anak di kampung itu. Selepas itu, Iqbal akan terus pulang ke rumah untuk mengulang kaji pelajaran. Dia patuh akan nasihat ibunya agar cepat pulang ke rumah dan tidak bercampur dengan budak-budak kacang hantu di kampungnya.

            Semakin meningkat remaja, Iqbal menjadi seorang anak yang berbudi pekerti luhur. Dia tidak pernah mengabaikan pelajaran dan tanggungjawab kepada ibunya. Dalam setiap peperiksaan, dia telah menunjukkan prestasi yang cemerlang. Guru-guru selalu memuji dan menjadikan dia sebagai contoh kepada pelajar-pelajar lain di sekolahnya. Ibunya selalu mengingatkan Iqbal supaya tidak lupa diri. Tidak hairanlah Iqbal telah muncul sebagai pelajar terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lalu.

            Kejayaan yang diperoleh telah melayakkan Iqbal melanjutkan pelajaran ke menara gading. Akhirnya, ketekunan dan usaha gigih Iqbal membuahkan hasil. Iqbal telah berjaya menjawat jawatan penting di ibu kota. Iqbal bukan sahaja berjaya dalam bidang kerjaya yang diceburi tetapi dia juga menjadi seorang yang baik sahsiahnya dan berpegang teguh kepada agama. Dia bukanlah individu yang diibaratkan seperti kacang lupakan kulit. Kesungguhan dan ketabahan Mak cik Mona membesarkan anaknya telah terbalas. Mak cik Mona bersyukur kepada Tuhan dan berasa gembira kerana janji kepada suaminya telah terlaksana

Rabu, 17 Julai 2013

Contoh Karangaramah ( Minat Membaca)



Sekolah anda akan menganjurkan Minggu Membaca peringkat sekolah. Pada hari perasmian, anda diminta untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Langkah-langkah untuk Menanamkan Minat Membaca dalam Kalangan Murid”.
Sediakan teks ceramah itu selengkapnya.

            Assalamualaikum saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, guru-guru dan seterusnya murid tingkatan tiga sekalian. Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan ceramah tentang isu yang hebat diperkatakan dewasa ini, iaitu “Langkah-langkah untuk Menanamkan Minat Membaca dalam Kalangan Murid”.

            Dewasa ini, aktiviti membaca dalam kalangan murid semakin berkurangan. Kebanyakan murid pada era ini lebih gemar melakukan aktiviti-aktiviti seperti melayari internet, bersukan, dan sebagainya bagi mengisi masa lapang daripada membaca buku.

Hadirin sekalian,

            Membaca itu jambatan ilmu. Tanpa membaca bagaimana sesuatu kejayaan itu dapat dicapai? Hal ini demikian kerana  kebanyakan perkara tidak dapat kita ketahui hanya melalui pengalaman tetapi melalui pembacaan. Semakin banyak kita membaca bahan bacaan yang berfaedah, semakin banyak pengetahuan yang bakal kita peroleh.
           
Di Malaysia , purata rakyat kita yang gemar membaca hanya sebilangan kecil. Langkah-langkah perlu diambil untuk  meningkatkan dan menanamkan semangat membaca dalam diri setiap orang. Langkah pertama yang dapat dilakukan adalah dengan mengadakan kempen membaca. Melalui kempen ini, setiap murid akan diberikan satu bahan bacaaan yang disediakan oleh pihak sekolah seperti majalah, surat khabar, dan sebagainya. Kemudian, murid haruslah menulis tentang bahan bacaan tersebut secara ringkas di dalam “Buku Nilam”. Pada akhir tahun, bilangan buku yang dibaca akan dikira dan sesiapa yang mencatatkan bilangan buku terbanyak akan diberikan anugerah dan sijil penghargaan. Dengan ini, sudah pasti minat membaca dapat diterapkan dalam diri setiap murid.

Langkah lain yang dapat diambil adalah dengan bantuan ibu bapa. Dalam hal ini ibu bapa haruslah memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak membaca sejak kecil. Ibarat kata pepatah “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Jika minat membaca sudah dapat dipupuk sejak kecil, sudah pasti apabila dewasa nanti aktiviti itu akan menjadi aktiviti harian. Ibu bapa boleh membelikan anak-anak mereka buku cerita sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Secara tidak langsung, murid-murid akan menjadikan buku atau bahan bacaan yang lain sebagai teman hidup mereka.

            Selain itu, mewujudkan perpustakaan di setiap sekolah merupakan langkah kerajaan menanamkan sikap suka membaca. Melalui kaedah ini, murid-murid akan menjadikan perpustakaan sebagai “rumah kedua” mereka. Murid-murid dibenarkan meminjam buku dari perpustakaan. Ada juga yang menjadikan perpustakaan sebagai tempat rujukan selain dapat menanamkan rasa cinta kepada buku. Hal ini dapat menjimatkan wang ibu bapa untuk membelikan sesuatu bahan bacaan yang mahal harganya. Sekaligus dapat membantu terutamanya bagi golongan yang kurang berkemampuan.

Warga dewan sekalian,

            Membaca itu amat penting dalam kehidupan harian kita. Sebagai murid, membaca itu merupakan suatu amalan dan kewajipan. Hal ini demikian kerana tanpa membaca, bagaimana seseorang itu dapat mencapai impian mereka untuk berjaya?

            Kesimpulannya, membaca ibarat emas dan melalui langkah-langkah itu tadi, saya berharap agar jumlah peratusan murid yang gemar membaca buku akan meningkat. Sebelum saya mengundurkan diri, izinkan saya melafazkan serangkap pantun:

            Naik beca ke pasar tamu,
            Membeli ikan dan juga laksa;
            Membaca itu jambatan ilmu,
            Jadikan amalan setiap masa.

Contoh Karangan (Gejala Merokok)



Gejala merokok merupakan isu yang hangat diperkatakan sejak sekian lama. Pelbagai usaha telah diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah ini namun masih sukar diatasi. Nyatakan punca-punca yang menyebabkan remaja terlibat dalam gejala ini.

Merokok merupakan isu global yang sering dibincangkan di mana-mana sahaja baik di barat atau di timur. Walaupun telah banyak artikel yang disiarkan mengenai kesan-kesan merokok namun remaja masih lagi meneruskan tabiat buruk mereka ini. Pihak kerajaan juga telah mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi masalah ini tetapi semuanya tidak menunjukkan kesan positif ibarat mencurah air kedaun keladi. Jika dikaji dengan teliti terdapat banyak punca yang menyebabkan remaja merokok.
Antara punca yang menyebabkan remaja merokok ialah naluri ingin mencuba sesuatu yang baru tanpa mengira kesannya. Mereka merasakan tak kenal maka tak cinta.  Dengan yang demikian mereka akan mula berjinak-jinak dengan rokok dari sebatang menjadi dua, tiga dan seterusnya menjadi satu kotak dan akhirnya menjadi amalan akibat ketagih. Mereka juga melakukan perkara itu untuk kelihatan lebih matang di mata kumpulan mereka dan teman wanita mereka. Mereka juga berbuat demikian untuk terus bertahan dalam sesebuah kumpulan dan tidak tersisih daripada rakan sebayanya.
Pengaruh rakan sebaya juga dikatakan sebagai punca remaja merokok. Mereka akan sedaya upaya mendapat perhatian daripada rakan-rakan sebaya mereka atau ahli-ahli dalam kumpulan mereka. Untuk tetap bertahan, maka mereka terpaksa melakukan sesuatu yang menjadi kelaziman dalam kumpulan itu. Merokok sebagai satu kelaziman menjadi tabiat bagi mereka setelah sekian lama melakukannya seperti kata pepatah alah bisa tegal biasa. Dengan berbuat demikian mereka akan tetap dianggap sebagai ahli kumpulan yang setia.
Sementara itu faktor keluarga juga  merupakan punca remaja terlibat dalam gejala ini. Faktor ini jarang disedari namun ia meresap dalam jiwa remaja secara perlahan yang mana akhirnya membawa kepada kelaziman. Ramai penjaga atau ibu bapa yang merokok di khalayak anak-anak mereka, tanpa menyedari bahawa perbuatan mereka itu menjadi perhatian dan tumpuan anak-anak yang masih remaja. Perbuatan ibu bapa yang menjadi ketua dan kepala keluarga sering menjadi ikutan dan teladan kerana mereka adalah 'role model' atau contoh bagi anak-anak. Keadaan ini sesuai digambarkan dengan peribahasa bapa borek anak rintik.  Dengan yang demikian tabiat merokok sudah pasti lambat laun akan menjadi ikutan mereka.
Iklan juga tidak kurang besar pengaruhnya terhadap golongan remaja. Setiap iklan rokok yang ditayangkan lengkap dengan tarikannya seperti memasukkan bintang atau pelakon yang popular, di samping menggunakan model-model wanita yang cantik sambil menggoda lelaki. Perkara seumpama ini walaupun kecil sifatnya tetapi kesannya amat mendalam dalam jiwa remaja.

Contoh Karangan Budaya Lepak



Budaya lepak dalam kalangan remaja semakin berleluasa. Beri pendapat anda tentang langkah-langkah yang boleh dijalankan bagi mengurangkan gejala tersebut.

Budaya lepak merupakan gejala biasa yang dapat dilihat di pusat membeli-belah. Fenomena ini amat membimbangkan semua pihak kerana generasi muda yang bakal menerajui kepemimpinan negara tidak menjalankan langkah positif bagi membina masa depan yang cerah,sebaliknya mendedahkan diri kepada anasir-anasir yang boleh merosakkan masa depan mereka.
Oleh itu, beberapa langkah tegas perlu dijalankan. ‘Off-bound school’ merupakan satu langkah bijak yang dapat mengurangkan budaya negatif ini. Di sekolah, kursus motivasi dan kursus kepemimpinan perlu dijalankan selaras dengan usaha kerajaan bagi menghasilkan remaja yang berkualiti.Dalam kursus tersebut, aktiviti berbentuk fizikal juga tidak harus dilupakan bagi remaja yang bersemangat waja. Aktiviti sedemikian dapat membentuk daya ketahanan dalam diri remaja dan tidak mudah putus asa.
Di samping itu, pusat-pusat rekreasi dan sukan juga harus diperbanyak. Setakat ini, pusat-pusat sukan dan rekreasi lebih ditujukan kepada golongan berada. Kurangnya tempat-tempat sedemikian menyebabkan remaja lebih beralih arah kepada hiburan yang terdapat di kompleks membeli-belah yang tidak mengenakan sebarang bayaran kepada mereka.
Satu lagi langkah yang boleh dijalankan oleh sektor awam dan sektor swasta ialah pelaksanaan sistem waktu kerja yang fleksibel bagi kaum ibu. Perkara ini memandangkan semakin banyak ibu yang bekerja. Oleh itu, mereka tidak dapat menumpukan perhatian antara kerjaya dan keluarga. Jikalau kaum ibu diberi peluang bekerja dengan masa yang fleksibel, tentulah kaum ibu dapat meluangkan lebih banyak masa bermesra dan ambil berat tentang anak-anak mereka. Langkah ini sudah tentu dapat mengurangkan budaya lepak di kalangan remaja. 
 Sebagai intihanya , diharapkan langkah-langkah yang dicadangkan itu dapat membendung gejala tidak sihat kerana pembentukan remaja berkualiti amat penting bagi merealisasikan Wawasan 2020.

Contoh Karangan Pendapat



Pencapaian murid yang tinggal di asrama adalah lebih baik daripada murid yang tinggal di rumah. 

Berikan pendapat anda

Karangan lengkap

            Kebanyakan sekolah menyediakan asrama untuk dihuni oleh murid-muridnya.  Kemudahan asrama yang disediakan ini dapat  memudahkan mereka pergi ke sekolah.  Sehubungan dengan itu,  murid-murid akan menuntut ilmu dengan selesa.   

            Tidak dapat dinafikan bahawa murid yang tinggal di asrama mendapat pencapaian yang lebih cemerlang berbanding dengan murid yang tinggal di rumah.  Hal ini disebabkan hampir 80 peratus mereka yang tinggal di asrama mempunyai latar belakang akademik yang cemerlang di sekolah rendah.  Tambahan pula pihak pengurusan asrama sentiasa menyediakan persekitaran kondusif untuk membantu mereka mendapatkan keputusan yang baik.

            Dari aspek suasana pembelajaran, murid yang tinggal di asrama belajar dalam keadaan yang amat berbeza daripada murid yang tinggal di rumah.  Mereka terpaksa mematuhi peraturan belajar yang tetap.  Contohnya waktu belajar pada sebelah malam ialah dari pukul 8.00 malam hingga 10.30 malam.  Ketika belajar mereka dilarang menonton  televisyen.  Jika ingkar mereka akan didenda atau dibuang dari asrama.  Peraturan ini mendorong mereka supaya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran tanpa sebarang gangguan luar.  Mereka ditimbuni maklumat tentang isu semasa dan pelajaran lantas menjadikan pemikiran mereka matang dan luas.

            Punca lain yang membantu pencapaian murid tinggal di asrama ialah bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru di luar waktu pengajaran dan pembelajaran.  Contohnya guru Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris akan mengadakan kelas tambahan pada waktu malam.  Pada hujung minggu pula murid didedahkan tentang teknik belajar dan pengurusan masa yang efektif melalui ceramah moivasi yang dianjurkan oleh pihak Bimbingan dan Kaunseling sekolah.  Oleh itu, murid di asrama mempunyai cara belajar yang betul dan terdorong untuk lulus dengan cemerlang.

            Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa badan yang sihat menyebabkan otak cerdas.  Oleh itu, pada sebelah petang murid-murid yang tinggal di asrama diwajibkan melakukan aktiviti riadah seperti senamrobik, bermain bola, berjoging dan lain-lain.  Selain itu, aktiviti riadah juga dapat melapangkan fikiran dan mengurangkan tekanan.

            Kesimpulanya, pencapaian murid yang tinggal di asrama adalah lebih baik daripada murid yang tinggal di rumah.  Hal ini demikian kerana suasana dan persekitaran belajar yang kondusif di asrama dapat membantu seseorang itu cemerlang dalam akademik.  Oleh itu,  murid-murid tidak seharusnya melepaskan peluang untuk belajar di sekolah asrama.