Anak-anak perlu dididik sejak kecil seperti kata
peribahasa melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
Tulis sebuah cerita
berdasarkan peribahasa tersebut.
“Melentur buluh biarlah daripada
rebungnya” bermaksud mendidik anak- anak hendaklah dari kecil lagi. Peribahasa
ini bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk membentuk sebuah masyarakat yang
mengamalkan nilai-nilai kekeluargaan. Peribahasa ini merupakan satu nasihat
yang amat baik untuk mendidik anak-anak agar cemerlang dan berguna kepada negara
apabila dewasa kelak. Anak-anak menjadi lebih mendengar nasihat jika diasuh
sedari kecil kerana belum terpengaruh dengan unsur negatif.
Aku masih ingat lagi, jiranku Mak
cik Mona seorang ibu tunggal yang mempunyai seorang anak sahaja. Kematian
suaminya akibat penyakit jantung menyebabkan dia kehilangan tempat bergantung.
Kehidupan mereka yang kais pagi makan pagi, kais petang makan
petang tidak menghalang Mak cik Mona memberi pendidikan yang sempurna
kepada anaknya, Iqbal. Mak cik Mona berharap agar suatu hari nanti Iqbal akan
dapat memenuhi impian arwah ayahnya untuk menjejakkan kaki ke menara gading.
Setiap pagi, Mak cik Mona terpaksa
bangun seawal jam empat pagi untuk menyiapkan nasi lemak dan kuih-muih. Semasa Iqbal
pergi ke sekolah, dia akan membawa kuih-muih dan nasi lemak yang disiapkan oleh
ibunya untuk dihantar ke warung Pak Mail. Sekembalinya dari sekolah, Iqbal akan
mengambil duit hasil jualannya tadi dan membeli barang-barang keperluan yang
dipesan oleh ibunya. Walaupun pendapatan mereka tidak seberapa, namun wang
tersebut mampu menyara kehidupan mereka berdua.
Sejak dari kecil, Iqbal telah
dididik dengan ilmu agama.Setiap petang dia belajar mengaji Al-Quran dengan
Haji Ibrahim di masjid. Haji Ibrahim juga turut mengajar fardu ain kepada
anak-anak di kampung itu. Selepas itu, Iqbal akan terus pulang ke rumah untuk
mengulang kaji pelajaran. Dia patuh akan nasihat ibunya agar cepat pulang ke
rumah dan tidak bercampur dengan budak-budak kacang hantu di
kampungnya.
Semakin meningkat remaja, Iqbal
menjadi seorang anak yang berbudi pekerti luhur. Dia tidak pernah mengabaikan
pelajaran dan tanggungjawab kepada ibunya. Dalam setiap peperiksaan, dia telah
menunjukkan prestasi yang cemerlang. Guru-guru selalu memuji dan menjadikan dia
sebagai contoh kepada pelajar-pelajar lain di sekolahnya. Ibunya selalu
mengingatkan Iqbal supaya tidak lupa diri. Tidak hairanlah Iqbal telah muncul
sebagai pelajar terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang
lalu.