Rabu, 17 Julai 2013

Contoh Karangan Peribahasa (Huraian)




Peribahasa merupakan aspek unggul dalam budaya Melayu yang diwarisi sejak turun-temurun. Salah satu peribahasa yang sering digunakan ialah ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’.
Huraikan maksud peribahasa ini selengkapnya.

            Peribahasa digunakan untuk memberi nasihat secara sopan tanpa menyinggung perasaan orang lain. Hal ini keraan masyarakat dahulu kala amat sensitif terhadap sebarang teguran atau sindiran. Biasanya, sesuatu peribahasa itu mempunyai kaitan dengan kehidupan masyarakat pada masa itu.

            ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’ merupakan salah satu daripada ratusan peribahasa Melayu yang dicipta oleh orang dahulu. Maksud peribahasa ini ialah ‘jika hendak mendidik, mengasuh atau membentuk peribadi anak, biarlah bermula dari peringkat kanak-kanak lagi’. Hal ini demikian kerana pada peringkat inilah lebih mudah untuk menasihat dan menegur sebarang salah laku anak.

            Persoalan kini ialah masih reklevankah peribahasa ini. Sebenarnya peribahasa ini masih benar dan dapat diterima pakai dalam semua situasi mengasuh anak. Peribahasa ini sebanyaknya ditujukan kepada para ibu bapa berhubung hal mendidik anak. Peribahasa ini merupakan sebahagian daripada ilmu keibubapaan yang sering diperkatakan sejak kebelakangan ini. Mesej penting di sebalik peribahasa ini ialah para ibu bapa harus mendidik dan membentuk keperibadian anak sejak mereka kecil lagi. Janganlah menuggu  hingga anak sudah menjadi remaja, baru hendak cuba melentur perwatakan mereka. Apabila sampai ke peringkat ini, sukar bagi ibu bapa melaksanakan tugas berat ini, ini disebabkan pengaruh rakan sebaya anak adalah lebih kuat daripada nasihat para ibu bapa. Begitu juga para remaja lebih terpengaruh oleh media massa.
            Biasanya hubungan ibu bapa dengan anak-anak cukup mesra dan akrab semasa anak-anak masih kecil lagi. Anak-anak dilayan bagai ‘menatang minyak yang penuh’ kerana setiap kerenah anak dilayan dengan sepenuh hati.ibu bapa berharap agar pada suatu hari nanti, anak-anak mereak akan menjadi insan yang berguna, bertanggungjawab, dan pandai mengenang jasa ibu dan bapa yang telah melahir, menyayangi, dan mengasuh mereka sejak kecil lagi. Sesungguhnya pada waktu inilah, para ibu bapa harus memainkan peranan sebenar mereka untuk membentuk sahsiah, peribadi, dan tabiat anak.

            Sekiranya pada peringkat ini, anak-anak diabaikan, kehendak mereka tidak dilayan, ragam mereka dibiarkan, dan makan minum mereka tidak dititikberatkan, pasti apabila anak-anak ini meningkat dewasa, kehidupan mereka akan menjadi tidak teratus, tidak tertib, kucar-kacir, dan tidak berhaluan serta tiada matlamat hidup. Justeru, bermula dari sinilah masalah sosial mula menular kerana anak-anak remaja pada peringkat ini sukar dikawal kerana mereka inginkan kebebasan. Sementara sebilangan besarnya sudah mula berjinak-jinak dengan rokok dan arak kerana sudah berupaya mencari nafkah sendiri dengan bekerja di kilang-kilang atau di restoran, stesen minyak mahupu sebaagi buruh kasar.

            Sering kita terbaca berita tentang para remaja yang melakukan pelbagai kesalahan seperti jenayah juvana, pergalan dan seks bebas, lumba motosikal haram, berfoya-foya, bersekedudukan tanpa bernikah, penyalahgunaan dadah, penggunaan pil ekstasi, laku musnah dan seumpamanya. Kesemua ini adalah sebagai akibat pengabaian para ibu bapa sendiri. Sudah tentu kejadian-kejadian seperti ini tidak akan berlaku sekiranya para ibu bapa mengambil berat dan memberi perhantian terhadap kebajikan anak-anak sejak dari bayi lagi.

            Pada peringkat remaja dan awal dewasa, anak sudah tiak mudah menerima sebarang teguran terbuka, dan nasihat daripada para ibu bapa. Peringkat ini merupakan peringkat ‘melawan’. Justeru itu, peringkat terbaik untuk mendidik dan mengasuh serta membentuk anak-anak, seperti yang disarankan oleh peribahasa ini ialah pada peringkat ‘rebungnya’ kerana hubungan anak-anak dengan ibu bapa cukup akrab.

            Kesimpulannya, kesempurnaan tingkah laku dan tabiat anak-anak adalah tanggungjawab ibu bapa. Oleh itu, hayatilah peribahasa ini dan amalkan pengajarannya dalam kehidupan seharian kita.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan