Rabu, 17 Julai 2013

Contoh Karangan Pendapat



Menjelang peperiksaan pelajar selalu menghadapi tekanan dalam mengulang kaji pelajaran.
Huraikan langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh pelajar  untuk menghadapi peperiksaan.

            Kedatangan bulan Oktober dan bulan November setiap akhir tahun kadangkala menakutkan sesetengah pelajar. Ada sesetengah pelajar pula menganggap inilah masa yang ditunggu-tunggu. Pada ketika inilah banyak cabaran besar yang akan diharungi oleh mereka. Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia merupakan tiga peperiksaan utama dalam sistem pendidikan negara pada peringkat sekolah menengah yang akan mencabar pelajar sekalian.

            Pada saat-saat menjelang peperiksaan, pelajar harus sering berada dalam keadaan yang tenang dan sentiasa melapangkan fikiran. Jangan mencari masalah, contohnya menyakiti hati ibu bapa. Jika keadaan ini berlaku, pelajar akan berasa bersalah dan tertekan. Hal ini akan menganggu tumpuan pelajar semasa menghadapi peperiksaan. Oleh itu, pada situasi ini, pelajar harus sentiasa tenang dan menjaga hubungan semua pihak agar tidak timbul masalah yang boleh menganggu tumpuan pelajar.

            Pelajar juga perlu mendapatkan pandangan dan panduan daripada guru tentang topik yang perlu diberikan perhatian. Guru mungkin sudah membuat analisis yang mendalam tentang bentuk soalan yang dijangka akan dikemukakan semasa peperiksaan. Langkah ini dapat menjimatkan masa pelajar untuk mengulang kaji dan memberikan lebih tumpuan kepada topik yang penting. Pelajar dinasihatkan membuat analisis tentang bentuk soalan yang telah dikeluarkan sebelumnya. Gabungan analisis pelajar dan guru pasti membuahkan hasil yang baik. Daripada contoh soalan yang dianalisis, pelajar perlu menjawab soalan tersebut mengikut skema jawapan semasa peperiksaan sebenar. Kaedah ini dapat dijadikan latih tubi oleh pelajar dalam menjawab soalan peperiksaan sebenar.

            Tidur yang mencukupi juga amat penting semasa minggu peperiksaan. Hal ini demikian kerana tidur yang mencukupi membolehkan pelajar mendapat rehat yang cukup sebelum peperiksaan berlangsung. Hal ini bagi menjamin pelajar dapat menjawab peperiksaan dengan lebih tenang dan selesa. Jangan berjaga hingga lewat malam untuk aktiviti yang tidak berfaedah. Ingat, kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Masa depan pelajar bergantung pada usaha pelajar sekarang.

1 ulasan:

  1. terima kasih, ia amat membantu saya mengulangkaji untuk memperbaikkan karangan saya hehehe^^

    BalasPadam